Tiktok Mekyuhhh

Showing posts with label cOrETaN hATi. Show all posts
Showing posts with label cOrETaN hATi. Show all posts
Tuesday, 31 March 2026

Aku masih disini

 

 


Dah lebih sebulan aku diam dari blog. Bukan tak ada cerita, sebenarnya terlalu banyak sampai tak tahu nak mula dari mana.

 

Dalam tempoh tu, macam-macam benda jadi. Ada yang seronok, ada yang penat, ada yang buat aku fikir panjang. Tapi kekangan kerja betul-betul makan masa. Bila sampai rumah, tenaga dah habis… nak buka laptop pun rasa berat.

 

Kadang-kadang terfikir, sayang juga bila tak sempat tulis semua ni. Sebab setiap fasa tu ada cerita dia, ada pengajaran dia. Tapi realitinya, hidup tak tunggu kita untuk “sempat” kita je yang kena cari ruang.

 

InsyaAllah, aku akan cuba curi masa sikit-sikit lepas ni. Banyak benda nak kongsi, bukan sekadar cerita, tapi pengalaman yang mungkin ada guna untuk orang lain juga.

 

Untuk yang masih singgah baca, terima kasih. Aku belum hilang  cuma tengah kejar kehidupan.

Friday, 23 January 2026

Majlis Fira anak Makcik Nori - 11 Januari 2026

 


Majlis perkahwinan sepupu suami yang berlangsung pada 11 Januari 2026 memang sangat meriah. Majlis ini diadakan di Selayang Capital Shopping Complex dan suasananya benar-benar meriah dari awal hingga ke akhir. Tema maroon yang dipilih nampak sangat elegan dan menaikkan seri majlis.
 

 




 

Saya dan keluarga sudah datang sehari lebih awal kerana menginap di Sky Hotel Selayang. Pada mulanya saya menyangka hotel ini mempunyai swimming pool, namun rupanya tiada, jadi Adha agak kecewa sedikit. Walau bagaimanapun, bilik hotel agak besar, selesa dan kemas, sesuai untuk berehat sebelum hari majlis.

Pada hari majlis, suasana memang tidak mengecewakan. Tetamu hadir dengan begitu ramai, majlis berjalan lancar dan hidangan yang disediakan juga sangat sedap. Secara keseluruhan, majlis ini benar-benar meriah dan meninggalkan kenangan manis buat kami sekeluarga.

Sebelum pulang sekitar jam 2 petang, saya sempat singgah ke Suka Dessert untuk membeli dessert kegemaran. Pada mulanya saya memang tidak bercadang untuk singgah kerana perlu beratur panjang dan cuaca pula agak panas. Namun memandangkan kakak tidak dapat turut serta kerana bekerja, saya rasa tidak sampai hati pula untuk tidak membelikan kiriman. Lagipun, kesian pada kakak yang tidak dapat ikut kami, jadi saya gagahkan juga beratur walaupun berpeluh-peluh.

Kesimpulannya, walaupun sedikit penat, majlis ini sangat berbaloi dan menjadi satu kenangan indah




Wednesday, 31 December 2025

Hari Bonus 2025 - 30/12/25



Bonus Datang Sekejap, Hutang Pergi Lama (Tapi Hati Tetap Kenyang)

Semalam aku tidur dengan senyuman. Bangun pagi pun rasa ringan je hati sebab satu benda bonus dah masuk. Rasa macam, “Eh aku ni kaya ke?” walaupun hakikatnya cuma kaya sementara 

Dalam kepala dah mula berangan. Nak reward diri sikit. Nak tarik nafas panjang lepas setahun penat kerja, tahan emosi, tahan perangai orang, tahan mesyuarat yang sebenarnya boleh jadi satu voice note je.

Tapi…
Hari ni aku buka akaun bank.
Senyuman semalam fade out perlahan-lahan.

Bonus tu dah selamat bertukar tangan.
Bukan sebab shopping besar-besaran.
Bukan sebab bercuti mewah.
Tapi sebab bayar hutang.

Sedih?
Ya, sikit.
Kelakar?
Ya, sangat kelakar versi dewasa yang tak boleh dielakkan.

Tapi dalam semua bayaran tu, aku buat satu keputusan kecil yang penting.
Aku tetap reward diri sendiri.

Aku beli barang kegemaran aku. Tak mahal, tapi cukup buat hati rasa dihargai. Aku makan makanan yang aku suka, tanpa rasa bersalah. Dan yang paling bermakna, aku bawa anak-anak keluar makan tengok mereka kenyang, gelak, dan bising sikit di meja makan.

Dalam banyak-banyak duit yang keluar untuk hutang,
ada juga lebihan kecil yang aku simpan untuk diri sendiri dan keluarga.

Rupanya inilah keseimbangan sebenar dewasa:
bayar tanggungjawab tanpa lupa diri.
Jaga komitmen tanpa menafikan kebahagiaan kecil.

Bonus tu mungkin tak lama menetap dalam akaun aku,
tapi dia tinggalkan rasa cukup yang sukar digambarkan.
Bukan cukup duit tapi cukup hati.

Kadang-kadang rezeki bukan datang untuk buat kita kaya.
Dia datang untuk ajar kita urus hidup dengan lebih tenang dan bererti.
 

Dan hari ni, walaupun angka dalam akaun dah menyusut,
aku tahu satu perkara aku guna rezeki tu dengan betul.

Terima kasih bonus, sebab datang bukan sekadar untuk habis,
tapi untuk menenangkan hidup aku dan keluarga.

Monday, 29 December 2025

Dah hampir 5 hari blog ni senyap tanpa khabar

Dah hampir 5 hari blog ni senyap tanpa khabar. Bukan sebab tak ada cerita, tapi sebab terlalu banyak benda berlaku dalam masa yang sama. Ada yang masih tersusun elok dalam kepala, ada yang masih berselerak dengan emosi sendiri. Kadang-kadang bila terlalu banyak nak diceritakan, kita jadi senyap dulu bukan menghilang, cuma tarik nafas.

Banyak perkara nak saya kongsikan sebenarnya. Hal kerja, hal kehidupan, hal-hal kecil yang nampak remeh tapi beri kesan besar pada diri. Cerita yang kalau ditulis laju, takut hilang makna. Jadi saya pilih untuk buat satu-satu. Perlahan-lahan, dengan ayat yang jujur, tanpa perlu kejar masa atau algoritma.

Blog ni bukan sekadar tempat update, tapi ruang untuk saya bercerita sebagai manusia biasa. Ada hari kuat, ada hari penat. Ada hari rasa yakin, ada hari penuh tanda tanya. Dan semua itu sebahagian daripada perjalanan yang saya rasa wajar dikongsi, mungkin ada yang pernah rasa perkara sama, cuma tak terluah.

Terima kasih pada yang masih singgah walaupun sunyi. Terima kasih yang masih membaca walau tak selalu ada entri baru. Insya-Allah, saya akan mula update semula. Satu-satu ya. Biar cerita sampai ke hati, bukan sekadar penuhkan ruang.

Friday, 19 December 2025

Nasihat Ikhlas Untuk Gen Z

 



Nasihat Ikhlas Untuk Gen Z, Dari Kami Yang Dah Lalu Fasa Itu

Gen Z adalah generasi yang pantas belajar, berani bersuara dan tahu apa yang mereka mahu. Dunia hari ini bergerak laju, teknologi di hujung jari, dan peluang datang tanpa henti. Itu satu kelebihan besar yang tak semua generasi pernah rasa.

Namun, sebagai pemerhati, saya lihat ada satu perkara yang semakin ketara. Sebahagian Gen Z terlalu berani sehingga tanpa sedar hilang common sense terhadap perasaan dan kedudukan orang lain, terutamanya kepada mereka yang lebih berusia. Berani bersuara itu bagus, tetapi bila cara dan nada tidak dijaga, ia boleh bertukar menjadi biadab tanpa niat.

Perlu diingat, usia membawa pengalaman. Orang yang lebih tua mungkin tidak sempurna, tetapi mereka melalui fasa jatuh bangun yang belum tentu kita lalui. Tak salah untuk berbeza pendapat, namun hormat itu tetap asas. Cara bercakap mencerminkan tahap kematangan, bukan sekadar keberanian.

Nasihat saya, belajarlah bezakan antara jujur dan kurang ajar. Jujur datang dengan empati, manakala kurang ajar lahir tanpa timbang rasa. Dunia tidak menilai siapa paling lantang, tetapi siapa yang tahu membawa diri.

Dalam masa yang sama, jangan terlalu keras pada diri sendiri. Tak semua orang perlu berjaya awal. Hidup bukan perlumbaan siapa paling cepat, tetapi siapa yang mampu bertahan dan belajar.

Belajar urus emosi sama penting dengan urus kewangan. Rehat bila penat, diam bila marah, dan berundur seketika bila hati terasa sempit. Ketenangan itu satu kematangan yang mahal nilainya.

Akhir kata, Gen Z, teruskan menjadi generasi yang berani, tetapi jangan hilang adab. Ilmu tanpa adab tidak ke mana, keberanian tanpa hormat hanya akan memakan diri. Jadilah generasi yang tegas, cerdas dan berjiwa besar. 

Friday, 5 December 2025

Hari ni OOTD pinky


Bangun pagi tadi aku tengok almari… baju banyak, tapi hati terpaut dekat warna pink. Entah kenapa, mungkin sebab semalam mimpi makan aiskrim strawberi dua batang hahahah(tak ada mimpi pun... gurau je). Terus auto rasa nak jadi sweet girl gitu.


Lepas siap-siap, tengok cermin pun rasa macam:“Haa… ni lah rupa kalau Hello Kitty dengan manusia bergabung.” Comel ke tak comel tu belakang kira, yang penting confidence ON.



Jalan pergi kerja tadi pun rasa angin pun sopan je bertiupan sebab masa gerak dari rumah memang dah lewat dan  malas nak rush so kita chill je. Mungkin juga sebab pegawai-pegawai aku bercuti? yeahaaaa... tapi alang-alang dah lambat aku singgah klinik panel jap ambik ubat selsema dan ubat tahan sakit. Ubat ni memang sentiasa akan ada stok pada aku sebab si kakak akan sentiasa sakit kepala. Tapi aku jaga juga pemakanan ubat si kakak supaya dia tidak sentiasa berpaut pada ubat je

 

Berbalik pada warna pink hari ini,dia buat mood lain macam. Dia buat mood lembut, hati tenang, dan rasa macam dunia pun slow-mo kejap. Kadang-kadang bukan OOTD yang penting… tapi vibe yang datang dengan warna tu.

So yeah… OOTD pinky hari ni: sweet, lembut, dan sedikit mengada-ngada.Tapi itu lah me today. 



Friday, 28 November 2025

Dicalonkan Untuk APC

 


Alhamdulillah, hari ni saya terima satu berita yang betul-betul buat saya tersenyum panjang. Saya antara nama yang tersenarai sebagai calon untuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC). Jujurnya, saya ada berharap akan dapat APC pada masa dahulu tetapi sekarang saya dah redha tup2 tahun ni saya antara pencalonannya.. 

 

Bila dapat tahu nama sendiri naik dalam senarai, rasa terharu tu lain macam. Macam segala penat lelah, stayback, stress, dan tanggungjawab yang kita pikul akhirnya dilihat dan dihargai. Bukan hanya oleh bos, tapi oleh keseluruhan organisasi.

Walaupun baru dicalonkan dan belum tahu keputusan akhir, saya tetap rasa bersyukur. Dicalonkan pun dah cukup besar maknanya tanda usaha kita diperhatikan. Kalau rezeki, dapatlah sijil dan pengiktirafan tu. Kalau bukan rezeki, saya tetap akan teruskan kerja dengan semangat yang sama.

Apa pun, hari ni rasa hati berbunga sikit. Terima kasih kepada yang percaya, yang sokong, dan yang selalu bagi semangat. Moga tahun ni jadi permulaan untuk lebih banyak perkara baik dalam kerjaya saya.

Thursday, 13 November 2025

Rasa Kosong Bila Kawan Nak Berhenti




Kadang-kadang kita tak sangka masa berlalu begitu cepat. Rasa macam baru semalam borak, gelak, dan berkongsi cerita suka duka dengan kawan sekerja yang dah jadi macam adik beradik sendiri. Tapi bila dia bagitahu nak berhenti hujung bulan 11 ni… terus rasa sebak.

Walaupun ada kawan lain di pejabat, suasana tu tetap tak sama. Dia ni antara orang yang selalu buat hari aku ceria — tempat aku luah rasa, teman borak waktu rehat, dan peneman bila stress dengan kerja. Lepas ni, ruang tu mesti terasa kosong… macam ada sesuatu yang hilang.

Kadang bila fikir yang hari-hari lepas ni takkan sama tanpa dia, rasa nak menangis pun ada. Tapi dalam sedih tu, aku tetap doakan dia terus berjaya dan bahagia dengan jalan baru yang dia pilih. Moga persahabatan ni tak terhenti walau tak lagi satu tempat kerja.

Terima kasih untuk semua kenangan — untuk tawa, nasihat, dan waktu yang tak ternilai. Persahabatan ni akan sentiasa aku simpan, walau kita dah tak kongsi meja dan rutin yang sama. 


Tuesday, 11 November 2025

Minggu Malas, Tapi Baju Cantik Tetap On Point



Minggu ni… jujurnya saya malas. Bangun pagi pun rasa macam nak sambung tidur je. Kerja banyak, cuaca panas, dan semangat entah ke mana. Tapi walaupun badan tak bersemangat, saya cuba kawal satu perkara iaitu emosi saya.


Saya perasan bila saya biar rasa malas tu ambil alih, semua benda jadi serabut. Mood tak stabil, kerja pun rasa berat. Jadi saya cuba satu cara mudah: berpakaian cantik ke pejabat.


Bukan sebab nak menunjuk, tapi sebab saya tahu bila saya nampak elok di cermin, saya rasa lebih baik. Ada semangat sikit nak jalan, nak senyum, nak hadap hari. Kadang-kadang “power outfit” tu bukan untuk orang lain, tapi untuk diri sendiri.


Hari Isnin saya pilih blazzer warna pastel yang lembut. Selasa, saya sarung kurung yang dah lama tergantung Tak Tau nak pakai bila sebab Cantik sangat kalau pakai ke ofis. Setiap pagi, masa bersiap, saya cakap dalam hati, “Okay, walaupun malas, aku tetap boleh nampak kemas dan tenang.”


Dan ajaibnya, bila emosi stabil, kerja pun terasa ringan sikit. Tak banyak berubah dari segi tugasan, tapi cara saya rasa memang lain.


Kadang-kadang, jaga diri bukan selalu tentang cuti panjang atau spa mahal. Kadang cukup dengan berpakaian cantik untuk diri sendiri, supaya hati pun rasa lebih terurus.

Saturday, 1 November 2025

Selamat Datang November



Pejam celik, pejam celik… dah pun masuk bulan November. Terasa masa bergerak begitu pantas, kan? November hadir membawa hawa yang lebih tenang, sambil mengingatkan kita bahawa tahun kian melabuhkan tirainya.

Bulan baru ini adalah ruang untuk kita reset semangat, betulkan kembali apa yang tertangguh, dan cuba capai apa yang masih belum sempat digapai sepanjang tahun ini. Walaupun mungkin ada cabaran yang menduga, November datang dengan harapan dan peluang baru untuk kita terus melangkah ke hadapan.

Semoga bulan ini dipenuhi dengan rezeki yang luas, kesihatan yang baik, dan momen-momen manis bersama insan tersayang. Mari kita sambut November dengan hati yang terbuka dan doa yang baik-baik. 

Wednesday, 29 October 2025

Kenapa Setiap Isnin Rasa Tak Bermaya Nak ke Ofis?





Hari ni dah rabu tapi nak cerita jugak pasal Monday Blues... 

 

Setiap kali bangun pagi hari Isnin, entah kenapa badan rasa lain macam. Rasa berat nak bangun, malas nak bersiap, dan otak pun macam belum bersedia nak kembali ke dunia kerja. Kadang terfikir, kenapa setiap Isnin je rasa macam ni? Adakah sebab badan dah tak selincah dulu, atau sebab minda pun perlukan “reboot” lepas dua hari cuti?

Mungkin faktor usia pun main peranan. Bila dah makin meningkat umur, tenaga pun tak macam dulu. Tapi kalau difikir balik, mungkin juga sebab kita terlalu “switch off” masa hujung minggu – bila Isnin datang, badan terkejut nak mula semula rutin.

Ada orang kata, nak lawan sindrom Isnin ni, cuba mula hari dengan sesuatu yang buat kita teruja – contohnya sarapan sedap, lagu kegemaran dalam kereta, atau pakai baju yang kita suka. Nampak remeh, tapi kadang benda kecil tu lah yang boleh ubah mood.

Tapi apa pun alasannya, hakikatnya kita semua pernah lalui “Monday blues”. Cuma beza, ada yang pandai kawal, ada yang terus hanyut dalam lemau tu sampai tengah hari 😅. Jadi, mungkin lepas ni kita kena belajar cari semangat baru setiap Isnin — walau badan dah tak selincah dulu, semangat tu masih boleh kita hidupkan.


Thursday, 16 October 2025

Bila Kawan Suka Meminjam Duit…




Kita semua mesti pernah ada kawan macam ni — bila hujung bulan je, mesej masuk. Mula-mula borak biasa, lepas tu terus keluar ayat padu, “Boleh tak pinjam sikit? Nanti aku bayar.”

Sekali dua mungkin kita rasa tak apa, tolong kawan kan. Tapi bila dah jadi tabiat, mula la hati ni rasa lain macam. Kadang bukan sebab duit pun, tapi sebab cara dia — kalau nak pinjam cepat je, tapi bila nak bayar balik, senyap terus macam tak ada apa-apa.

Yang paling susah bila kawan tu rapat. Nak marah tak sampai hati, nak tolong pun rasa serba salah. Akhirnya kita tanggung rasa tak selesa sendiri. Kadang terpaksa pura-pura tak baca mesej sebab dah tak tahu nak tolak macam mana.

Sebenarnya, berkawan ni bukan sekadar masa senang. Kalau betul-betul kawan, dia akan jaga hubungan tu — bukan ambil kesempatan. Duit boleh cari, tapi kepercayaan tu kalau dah hilang, susah nak dapat balik.

Kadang kita kena belajar cakap “tak” dengan cara baik. Bukan sebab kedekut, tapi sebab nak jaga hati sendiri juga. Kalau setiap kali pinjam, setiap kali hati makan dalam — lebih baik berhenti sebelum persahabatan tu terus renggang.

Akhirnya, dari kawan yang suka meminjam duit ni, kita belajar banyak benda. Bukan pasal duit semata-mata, tapi tentang kejujuran, kepercayaan dan batas dalam persahabatan. Kadang kita kena tahu bila nak tolong, dan bila nak jaga diri sendiri.

Tak salah nak bantu kawan, tapi biarlah dengan cara yang tak buat kita terbeban. Sebab dalam hidup ni, kawan datang dan pergi — tapi ketenangan hati kita sendiri tu yang paling mahal nilainya.

Sunday, 12 October 2025

Kadang Kita Cuma Perlukan Masa, Bukan Nasihat


Pernah tak rasa… bila kita tengah sedih, orang mula datang dengan macam-macam nasihat?
“Ala, sabarlah…”
“Dah tu, tak payah fikir sangat…”
“Move on je, nanti okey la tu…”

Tapi dalam hati, kita cuma nak diam. Nak bagi masa untuk diri sendiri bernafas semula. Bukan sebab kita tak nak dengar, tapi sebab masa tu — hati kita belum bersedia nak faham.

Kadang kita tak perlukan orang betulkan semua benda. Kita cuma perlukan seseorang yang duduk sebelah dan tak cakap apa-apa. Cukup sekadar teman diam, yang faham diam tu pun satu bentuk kekuatan.

Masa akan ubah banyak benda. Perlahan-lahan luka jadi parut, kecewa jadi pengajaran, dan air mata jadi doa. Bila semua dah reda, barulah nasihat-nasihat tu terasa masuk akal.

Jadi, kalau ada orang yang tengah susah, jangan terus bagi jalan keluar. Kadang, yang mereka perlukan cuma masa… dan sedikit tenang. 

Kadang, dalam hidup ni… bukan semua benda perlukan jawapan segera. Ada masa kita cuma perlu diam, rasa, dan biar masa rawat perlahan-lahan.


Pernah tak awak pun rasa macam tu — bukan perlukan nasihat, cuma perlukan masa?

Friday, 10 October 2025

Hilang Arah Sekejap Tak Bermakna Gagal

 


Pernah rasa hidup tiba-tiba tak tentu arah?
Macam semua benda tak menjadi, dan apa yang dulu buat kita semangat… tiba-tiba rasa hambar. Kalau awak pernah rasa macam tu — entri ni untuk awak. 


Dalam hidup, kadang kita sampai ke satu titik yang buat kita terdiam — tak tahu nak terus ke depan atau patah balik. Semua nampak kabur, semua rasa tak kena. Tapi percayalah, hilang arah sekejap tak bermakna kita gagal.

Ada masa, Tuhan memang biar kita tersesat sekejap supaya kita belajar kenal semula diri sendiri. Sebab bila semua nampak terang, kita jarang tanya — “aku ni sebenarnya nak ke mana?”

Mungkin kita cuma perlukan masa untuk berhenti sekejap. Tarik nafas. Pandang sekeliling. Tenangkan hati. Sebab perjalanan yang baik bukan yang paling laju, tapi yang paling banyak ajar kita erti sabar.

Gagal sebenar bukan bila kita berhenti sekejap, tapi bila kita terus menyerah tanpa cuba bangun lagi. kadang langkah tu perlahan, tapi masih langkah juga. Jadi, kalau hari ni awak rasa hilang arah — tak apa.
Itu cuma tanda awak manusia, bukan mesin. 


Kadang hidup memang tak ikut rancangan kita. Ada masa kita tersasar jauh, tapi dari situ jugalah kita belajar banyak benda tentang diri sendiri. Jadi jangan cepat rasa lemah bila hati mula hilang arah — sebab setiap orang pun pernah lalu jalan yang sama. 

Kalau awak pun pernah rasa macam ni, kongsi sikit di ruangan komen. Mungkin kisah awak boleh jadi semangat untuk orang lain yang tengah mencari cahaya. 

Thursday, 25 September 2025

Hari Gaji, Datang Sekejap Pergi Pun Sekejap





Hari gaji ni kalau nak diikutkan, memang macam drama Korea. Baru je masuk akaun, berdebar hati tengok baki bertambah—senyum sampai telinga. Tapi percaya tak, belum sempat seminggu dah rasa macam “eh, kenapa cepat sangat kurus akaun ni?” 

Itulah realiti hari gaji. Masa dia masuk, kita rasa macam orang paling kaya. Terus pasang angan-angan nak shopping, nak makan sedap, nak beli itu ini. Tapi bila bil, hutang, minyak kereta, barang dapur semua datang menuntut, terus rasa macam duit tu sekadar ‘singgah’ sekejap je.

Paling kelakar, ada orang kata gaji ni macam ex—datang dengan penuh harapan, pergi tinggalkan kita tanpa pesan. Tinggallah kita termenung tengok akaun bank, berdoa semoga cepatlah tarikh gaji seterusnya.

Tapi tak apalah, walau pun sekejap, hari gaji tetap bawa rasa bahagia. Sekurang-kurangnya dapat hargai diri sendiri, belanja keluarga, dan teruskan hidup dengan semangat baru. Yang penting, jangan lupa simpan sikit untuk kecemasan… kalau tak, hujung bulan nanti boleh jadi drama lagi.

Saturday, 20 September 2025

Matcha Lovers vs Coffee Lovers




Siapa awak dalam dua dunia ni?

Dalam dunia minuman, ada dua golongan yang selalu jadi topik perbualan — pencinta matcha dan pencinta kopi. Dua-dua ada keistimewaan sendiri, dan dua-dua ada peminat tegar yang sanggup berdebat panjang untuk mempertahankan minuman kegemaran masing-masing. Jom kita tengok apa beza mereka:

🌿 Matcha Lovers
 • Tenang & fokus – Matcha kaya dengan L-theanine yang buat minda rasa rileks tapi tetap bertenaga.
 • Lifestyle sihat – Biasanya peminat matcha suka gaya hidup lebih mindful, ada yang memang minum sebab nak detox badan.
 • Estetik vibes – Dari latte hijau pekat sampai ke kek matcha, semuanya nampak cantik untuk feed Instagram.
 • Team zen – Kalau kopi buat jantung berdegup kencang, matcha pula bagi vibe lebih steady.

☕ Coffee Lovers
 • Pagi tak lengkap tanpa kopi – Sejenis wajib, kalau tak minum rasa macam tak boleh function.
 • Pencinta aroma – Bau kopi fresh brew tu memang boleh buat orang jatuh cinta.
 • Boost segera – Nak tenaga cepat, kopi memang jadi pilihan utama.
 • Team hustle – Biasanya coffee lovers ni suka suasana sibuk, kerja laju, dan kadang-kadang barulah cari kopi sebagai teman.

Jadi… awak Team Mana?



Sebenarnya, tak kira matcha lovers atau coffee lovers, dua-dua ada kelebihan tersendiri. Matcha bagi kita vibe lebih tenang, kopi pula beri kick untuk terus bergerak. Yang penting, nikmati ikut cara dan mood masing-masing.


Thursday, 11 September 2025

Kawan Munafik: Senyum di Depan, Tikam di Belakang

Dalam hidup, kita akan jumpa macam-macam jenis manusia. Ada yang ikhlas bersahabat, ada yang jadi penguat semangat… dan ada juga yang pandai berlakon, layak menang anugerah Oscar kategori “Kawan Terbaik Dalam Dunia Plastik”.

Kawan munafik ini unik – depan kita, senyuman dia manis macam gula-gula kapas. Tapi bila kita tak ada, dia tukar watak, tikam kita cukup-cukup. Kata-kata yang keluar dari mulut dia? Lagi tajam dari pisau dapur mak kau!


Kenapa Wujud Kawan Macam Ni?

✔️ Cemburu Berapi – Bila kita dapat rezeki, dia rasa panas hati.
✔️ Suka Jadi Hero – Cerita kita dijaja supaya dia nampak hebat.
✔️ Tak Bahagia Dengan Diri Sendiri – Orang yang tak puas hati dengan hidup sendiri akan cari salah orang lain.

Macam Mana Nak Handle?
 1. Jangan Layan Drama – Dia nak buat kita marah, tapi kita senyum saja.
 2. Letak Sempadan – Kurangkan cerita personal, jangan bagi bahan gosip.
 3. Doakan Kebaikan Dia – Biar Allah uruskan hati dia, bukan kita.

Munafik dalam persahabatan ini lebih bahaya dari musuh terang-terangan. Sebab kita percaya dia, kita letak harapan, tapi akhirnya kita yang sakit.

Moralnya: Hidup ni terlalu singkat untuk berkawan dengan orang plastik. Cari kawan yang jujur – yang kalau dia suka, dia sokong depan belakang. Kalau dia tak suka, dia cakap terus terang, bukan sembunyi di sebalik senyuman palsu.



“Kalau kau boleh senyum depan aku tapi tikam aku belakang, jangan lupa… Allah nampak semua. Dan satu hari nanti, bila kau rasa dunia tak adil, mungkin itulah doa orang yang pernah kau sakiti.”

Friday, 15 August 2025

Rindu Yang Tak Pernah Padam – Buat Arwah Abah


Tarikh 11 Januari 2020 akan sentiasa terpatri dalam hati ini. Tarikh itulah yang meragut separuh dari kekuatan kami sekeluarga. Tarikh itulah yang membawa pergi seorang insan bergelar abah, tempat kami bergantung harap, berlindung, dan mencurah rasa.

Hari ini, sudah 5 tahun abah pergi meninggalkan dunia ini. Namun hakikatnya, rindu ini langsung tidak pernah surut. Setiap kali melihat gambar lama, mendengar suara dalam rakaman, atau teringat pesanan abah yang selalu menenangkan — air mata ini pasti tumpah. Kadangkala hanya dengan duduk diam, hati ini sudah terasa sesak kerana terlalu rindu.

Abah, dunia tanpa kehadiranmu sunyi. Senyum dan nasihatmu menjadi kenangan yang paling mahal buat kami. Tiada siapa mampu menggantikan tempatmu. Terlalu banyak yang ingin kami kongsikan denganmu… kisah kejayaan, kesedihan, dan perjalanan hidup ini — semuanya kami bawa bersama rindu yang tak pernah padam.

Ya Allah, tempatkan abah di kalangan hamba-Mu yang Engkau kasihi. Lapangkan kuburnya, tenangkan rohnya, dan jadikan syurga sebagai tempat abah berehat selamanya.
Al-Fatihah buat abah tercinta.

Wednesday, 13 August 2025

Menjaga Emosi Sendiri – Catatan dari Hati

 

Ada masa, aku penat. Penat bukan pada jasad, tapi pada hati. Penat kerana terlalu banyak yang aku simpan, terlalu banyak yang aku telan. Aku belajar menjadi kuat walaupun di dalam hati ini ada ribut yang tak berhenti.

Aku selalu cuba jadi orang yang faham semua orang, yang senyum walau hati sendiri retak seribu. Aku tak mahu orang lain rasa sedih, tapi aku lupa… siapa yang peduli kalau aku sendiri yang terluka? Siapa yang akan datang memujuk kalau aku yang menangis sendirian di malam yang sunyi?

Menjaga emosi sendiri itu bukan perkara mudah. Ia memerlukan keberanian untuk berkata, “Cukup, aku tak mampu lagi.” Ia memerlukan kekuatan untuk melangkah pergi daripada sesuatu yang aku tahu akan menghancurkan hati. Dan ia memerlukan hati yang redha untuk melepaskan walaupun aku masih sayang.

Ada hari-hari di mana aku hanya duduk diam, memandang langit, dan bertanya pada diri,
“Kenapa aku terlalu baik pada semua orang, tapi tak cukup baik pada diri sendiri?”
Hari-hari seperti itu membuatkan aku sedar — aku juga manusia, yang berhak merasa bahagia tanpa perlu mengorbankan hati sendiri setiap masa.

Sekarang, aku belajar untuk meletakkan had.
Bila aku letih, aku rehat.
Bila aku marah, aku tarik nafas dan diam.
Bila aku sedih, aku izinkan diri menangis.
Kerana aku tahu, memendam terlalu lama akan membunuh perlahan-lahan.

Dan satu perkara yang aku pegang,
Aku tak perlu buktikan apa-apa pada sesiapa.
Yang aku perlu, hanya memastikan hati ini masih hidup dan tidak hilang rasa.

Menjaga emosi sendiri adalah hadiah yang aku berikan pada diri — hadiah yang tak semua orang berani ambil. Dan aku bangga kerana aku sedang belajar mencintai diri aku sendiri… sedikit demi sedikit.

Friday, 8 August 2025

Kawan ke Lawan? Atau Pelakon Terbaik Dunia?


Pelik kan… dalam dunia ni, kita jumpa macam-macam jenis manusia. Tapi yang paling susah nak dikesan… ialah manusia yang bertopengkan kawan. Luar nampak manis, dalam masyaAllah… berapi!

Ada yang pandai sangat berlakon. Depan kita, dia penyayang. Penyayang sangat sampai sanggup “jaga tepi kain” kita—bukan sebab prihatin, tapi sebab nak bawa cerita sedap untuk orang lain. Jenis macam ni, memang layak menang anugerah pelakon watak pembantu terbaik.

Kadang kita pelik, kenapa tiba-tiba orang jauh berubah dengan kita? Rupa-rupanya, ada si batu api yang ligat menyimbah minyak dalam api kecil yang tak pernah pun wujud. Jenis ni, dia tak puas hati tengok orang aman. Dia seronok tengok drama. Lagi gaduh, lagi dia tepuk tangan.

Dan yang paling kelakar, bila dia buat muka tak bersalah. Konon dia tak tahu apa-apa. Padahal dialah ‘director’ belakang tabir. Tikam dari belakang sambil peluk dari depan. Multi-tasking betul!

Tapi tak apa. Hidup ni ibarat cermin—apa yang kita buat, satu hari nanti akan berpatah balik. Kalau hari ni dia tabur fitnah, esok lusa dia akan rasa sendiri sakitnya bila difitnah. Kalau hari ni dia tikam kita dalam diam, jangan pelik kalau satu hari nanti dia pula ditikam oleh orang yang dia paling percaya.

Kawan-kawan, berhati-hatilah. Dunia ni penuh dengan manusia yang pakai topeng. Jangan cepat percaya, jangan mudah selesa. Sebab kadang-kadang, lawan yang paling kejam datang dari orang yang pernah kita panggil kawan.