Tiktok Mekyuhhh

Showing posts with label cOrETaN. Show all posts
Showing posts with label cOrETaN. Show all posts
Tuesday, 6 January 2026

Majlis Kahwin Kak Lang (Sepupu Suami) 03 Januari 2026


Pada 3/1/2026 yang lalu, kami sekeluarga pergi ke majlis kahwin Kak Lang, sepupu suami, yang dibuat di Asiana Grand Hall, Selayang dengan tema belah kami Soft Yellow. Resepsi bermula 7 malam sampai 11 malam. Sebelah pagi sebenarnya ada akad nikah, tapi aku dan keluarga memang tak dapat hadir. Kakak kerja pukul 1 tengah hari, jadi ibu kena hantar kakak kerja dulu sebelum kami semua bersiap nak gerak ke Selayang. Jadinya kami fokus untuk datang majlis malam je.

 



 



Kami sampai lebih kurang jam 7 malam. Masa ni suasana masih tenang, orang pun belum ramai. dapatlah makan dulu dengan aman tanpa perlu beratur panjang. Perut pun memang tengah lapar, jadi nikmat betul waktu ni.




 

 
Masuk jam 8.30 malam lepas Isyak, barulah dewan mula penuh. Orang makin ramai sampai kerusi pun tak cukup. Memang jelas majlis ni dapat sambutan yang sangat-sangat baik. Riuh rendah, penuh gelak tawa dan suasana kenduri yang hidup.



Part paling buat orang teruja, masa ketibaan pengantin. Pengantin datang diiringi lebih kurang 100 buah motosikal berkuasa tinggi. Bunyi motor, barisan panjang dan gaya masuk tu memang padu. Terus rasa “eh, ni lain macam” meletop habis 





Bab makanan, memang tak ada isu langsung. Menu banyak dan semuanya sedap. Dessert pun jangan cakaplah, memang puas hati. Kak Lang ni memang pakar dessert, tambah pula adik-beradik yang memang meniaga makanan. Jadi soal rasa tu memang tak perlu risau.


Sebelum balik, kami dapat goodies yang cantik. Dalam tu ada uncang teh, kopi dan gula-gula untuk si Adha. Simple tapi kemas dan berguna. Goodies macam ni memang seronok sebab balik rumah pun boleh terus guna.


Kami balik sekitar jam 10 malam. Walaupun tak drive, tetap rasa penat juga, penat berdiri, penat borak, penat makan tapi penat yang seronok.

Kesimpulannya, majlis kahwin Kak Lang memang jadi satu memori yang manis untuk kami sekeluarga. Meriah, makanan sedap, goodies cantik dan suasana kekeluargaan yang terasa sangat dekat.

Simpan sini sebagai kenangan 


Monday, 5 January 2026

Pengenalan Yuslina Empire



Sempena langkah masuk ke tahun 2026, aku perkenalkan satu ruang baharu yang dekat dengan kehidupan aku sendiri, Yuslina Empire. Walaupun penulisan ini telah bermula sejak 22 Disember 2025, aku anggap inilah permulaan rasmi untuk aku lebih konsisten berkongsi cerita dan pengalaman dunia kerja.


Yuslina Empire lahir daripada realiti harian aku sebagai seorang pekerja. Tentang dunia pejabat yang tak selalu cantik, tentang kerja dan kerjaya yang penuh cabaran, tekanan senyap, dan emosi yang orang jarang luahkan. Apa yang aku tulis bukan teori semata-mata, tapi kisah sebenar yang berlaku di sekeliling aku.


Dalam blog ini, aku kongsikan cerita tentang diri aku sendiri, serta pengalaman bersama rakan-rakan sekerja yang datang dengan pelbagai ragam, sikap dan latar belakang. Ada yang menjadi sumber inspirasi, ada yang mengajar erti sabar, dan ada juga yang tanpa sedar membuka mata aku tentang realiti sebenar dunia kerja. Semua cerita dikongsi secara berlapik dan beretika, sebagai pengajaran dan refleksi bersama.


Yuslina Empire bukan untuk membuka aib sesiapa, jauh sekali untuk mengajar orang menjadi sempurna. Ia adalah ruang untuk bercerita dengan jujur, belajar dari pengalaman, dan memberi suara kepada mereka yang pernah rasa penat tapi terpaksa terus kuat.


Kepada pembaca setia Mekyuhhh, aku dengan rendah hati menjemput anda semua untuk follow dan menyokong blog baharu ini iaitu Yuslina Empire. Jika anda suka membaca tentang realiti kerja dan dunia pejabat yang ditulis secara santai tetapi jujur, mungkin Yuslina Empire adalah ruang yang sesuai untuk anda.


Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus. Semoga kita terus berkembang, belajar dan melangkah ke hadapan bersama.




Monday, 22 December 2025

Kerja Pejabat Makin Banyak, Tapi Kudrat Makin Kurang

 


Entah bila bermula, kerja pejabat terasa semakin bertambah dari hari ke hari. Tugasan datang bertindih, mesyuarat bersambung tanpa henti, emel belum sempat habis dibaca, sudah muncul arahan baharu. Badan masih di kerusi yang sama, tapi tenaga terasa makin menipis.

Bukan kerana malas, tapi kudrat memang tak sama seperti dulu. Dulu boleh bertahan sampai lewat petang tanpa rasa apa-apa, sekarang jam baru pukul tiga pun badan sudah minta rehat. Mata penat, kepala berat, dan fikiran jadi perlahan. Namun kerja tetap perlu disiapkan, seolah-olah tenaga manusia tiada hadnya.

Yang buat lebih mencabar, kerja pejabat hari ini bukan sekadar kerja fizikal, tetapi kerja emosi dan mental. Perlu jaga tutur kata, jaga perasaan orang, urus tekanan dari atas dan bawah dalam masa yang sama. Senyum di luar, simpan penat di dalam.

Ada masanya kita tertanya, adakah kita makin lemah, atau tuntutan kerja yang semakin tidak munasabah? Mungkin jawapannya kedua-duanya. Usia bertambah, tanggungjawab juga bertambah. Badan tidak lagi sekuat dulu, tapi ekspektasi tetap tinggi.

Namun dalam keletihan itu, kita belajar satu perkara penting, kerja tidak pernah habis, tetapi kesihatan boleh habis. Belajar berhenti sekejap bukan tanda kalah, belajar minta tolong bukan tanda gagal. Kita bukan mesin, kita manusia.

Semoga suatu hari nanti, budaya kerja lebih berperikemanusiaan. Hingga saat itu tiba, jagalah diri sebaik mungkin. Kerana kudrat yang tinggal ini, masih diperlukan untuk hari esok. 

Sunday, 21 December 2025

Kelebihan GXBank Berdasarkan Pengalaman Saya

Selepas lebih dua bulan menggunakan GXBank, antara perkara yang buat saya selesa adalah kesederhanaan dan kemudahan yang ditawarkan. Semuanya terasa praktikal untuk kegunaan harian, terutamanya bagi orang yang nak urus kewangan tanpa terlalu banyak kerumitan.


Antara kelebihan GXBank yang saya perasan:

  1. Aplikasi ringkas & mudah digunakan
  2. Paparan jelas, tak serabut. Senang untuk semak baki, pindah duit dan pantau transaksi harian tanpa pening kepala.
  3. Urusan sepenuhnya secara digital Tak perlu ke cawangan, tak perlu beratur. Semua boleh buat terus dari telefon, bila-bila masa.
  4. Notifikasi transaksi yang jelas. Setiap pergerakan duit dimaklumkan, jadi lebih mudah kawal perbelanjaan dan elak terlepas pandang.
  5. Sesuai untuk simpan duit sikit-sikit. Saya rasa lebih senang asingkan duit simpanan kerana semuanya nampak tersusun dan mudah dipantau.
  6. Proses pantas untuk urusan asas. Pindahan wang dan bayaran dibuat dengan cepat, tanpa banyak langkah yang menyusahkan.

Sudah tentu, GXBank mungkin tidak sesuai untuk semua orang. Keperluan kewangan setiap individu berbeza. Namun untuk saya, yang mahukan bank digital yang ringkas, mudah dan tidak membebankan, GXBank setakat ini memenuhi keperluan tersebut.


Ini sekadar perkongsian jujur dari pengalaman sendiri, bukan ajakan atau paksaan. Pilihan kewangan tetap bergantung kepada kesesuaian masing-masing.

Thursday, 18 December 2025

MasterChef KSR Part 2

 


Sambungan cerita MasterChef KSR yang berlangsung pada Sabtu lepas, 13/12/2025.




Acara bermula seawal jam 9.00 pagi, bila semua peserta dikumpulkan dan diumumkan cabaran pertama setiap kumpulan diberikan RM100 untuk membeli bahan mentah di NSK Seremban 2. Masa yang diberi untuk misi membeli barang hanyalah 1 jam sahaja. Masing-masing terus bertukar jadi chef + akauntan + pembeli tegar, kira harga sambil berlari dalam pasar. Ada yang ulang-alik rak rempah, ada yang termenung depan ayam sambil buat kira-kira dalam kepala.








Selesai urusan membeli, semua peserta bergerak balik ke ibu pejabat untuk sesi memasak.Bila masuk je kawasan dapur, suasana terus bertukar meriah luar biasa. Tema hari tu masakan India, jadi urusetia pun pasang lagu-lagu Bollywood tanpa segan silu. Terus rasa macam tengah berada dalam set filem India  bezanya semua pakai apron, bukan sari 







Aku pula ditugaskan untuk buat Live TikTok.Nak kata senang tu, tipu la weh. Dari pukul 9 pagi sampai 1 tengah hari, tangan aku literally lenguh pegang phone. Berdiri, pusing sana sini, rakam meja ke meja, interview sikit-sikit. Haus jangan cakap, lapar pun jangan tanya. Rasa macam tangan nak tercabut, tekak kering, perut berbunyi ikut rentak lagu Bollywood. Tapi demi content, aku teruskan juga. Profesional konon 





Walaupun penat, keseluruhan acara memang best gila. Gelak ketawa, kecoh, bau rempah satu ruang, semua orang enjoy. Dan akhirnya, pemenang dinobatkan dari Dapur Lebur kumpulan yang dianggotai semua perempuan. Memang padu, kemas, rasa pun on point. Memang layak menang, tak boleh dinafikan.









Pendek kata, MasterChef KSR ni bukan sekadar pertandingan masak, tapi jadi memori manis yang penuh gelak, penat, lapar dan kepuasan. Kalau ada season seterusnya… aku rela jadi cameraman lagi  asal ada air dan makanan siap 

 




 

 

Saturday, 13 December 2025

PERTANDINGAN MASTERCHEF KSR 2025

 


Sebenarnya hari ini aku dijadualkan menyertai Pertandingan MasterChef anjuran kelab. Memang dari awal lagi kami semua teruja sebab dah siap rancang menu dan pembahagian tugas. Malangnya, tak semua perancangan berjalan seperti yang dirancang.

Salah seorang ahli kumpulan kami kurang sihat dan tak mampu hadir. Disebabkan pertandingan ini memerlukan kerjasama penuh satu team, kami mengambil keputusan untuk menarik diri.Tak apa, mungkin belum rezeki kami untuk kali ini. InsyaAllah jika ada peluang lain, kami cuba lagi dengan lebih bersedia. 

 walaupun tak sertai aku nak simpan sini peraturan-peraturan yang dibuat oleh penganjur

 

PERATURAN PERTANDINGAN MASTERCHEF KSR 2025 

1.    Ahli Kumpulan boleh terdiri daripada minimum 2 orang atau maksimum 4 orang untuk setiap kumpulan tanpa mengira jantina, umur dan bangsa.

 

2. Pemilihan menu akan dibuat secara undian oleh urusetia semasa hari pertandingan. 3 tema akan diletakkan dalam kotak undian iaitu tema malay cuisine, Chinese cuisine & Indian cuisine. Sebagai persediaan awal, semua Kumpulan di sarankan untuk menyediakan menu bagi ketiga-tiga tema.

 

3.    Setiap kumpulan akan menyediakan 1 hidangan utama masakan mengikut tema, 1 menu pencuci mulut dan air berperisa.

 

4.    Masa memasak diperuntukan selama 3 jam bagi setiap kumpulan. Masa termasuk waktu pembelian bahan-bahan masakan di NSK Seremban 2.

 

5.  Sewaktu sesi pembelian di NSK dan sesi memasak, salah seorang ahli perlu membuat live di link FB KSR. 

 

6.    Setiap kumpulan akan diberi wang tunai RM100.00 untuk membeli bahan-bahan masakan dan keperluan tambahan lain. Wang tunai akan diberi sewaktu hari pertandingan. Resit pembelian perlu diserahkan kepada urusetia.

 

7.    Tidak dibenarkan membawa bahan mentah yang telah siap diproses.Kesemua bahan mentah mesti diproses di tempat pertandingan secara manual. Tiada bekalan elektrik disediakan.Penyertaan akan dibatalkan jika didapati berbuat demikian.

 

8.    Setiap kumpulan perlu membawa sendiri peralatan memasak dan menghidang masing-masing. Pihak Urusetia hanya menyediakan dapur gas mudah alih dan tabung gas 2 botol sahaja.

 

9.  Setiap kumpulan perlu menghidangkan juadah yang telah dimasak mengikut kreativiti masing-masing.

 

10.  Hidangan penjurian hendaklah disediakan untuk  3 orang juri.

 

11.    Keputusan juri adalah muktamad.Penjurian markah adalah berdasarkan:

 

BIL

KRITERIA

PERINCIAN

MARKAH (%)

1.

Rasa

*Rasa yang enak & sedap

30

2.

Kesesuaian konsep & tema

*Kombinasi menu yang sesuai & memenuhi konsep masakan

*Memenuhi tema masakan

30

3.

Persembahan & Kreativiti

*Mempamerkan hidangan dengan menarik & kreatif

10

4.

Rakaman Live

Rakaman live terbaik dari segi kejelasan, kretif & menghiburkan.

10

5.

Kerjasama & komitmen kumpulan

*Kerjasama & komitmen yang diberikan oleh kumpulan

10

6.

Kebersihan

*Kebersihan tempat kerja, peralatan memasak & cucian bahan mentah yang sempurna

10

7.

Pembaziran & Penjimatan

*Tiada pembaziran bahan mentah & Perbelanjaan berhemah.

(markah tambahan juri)

5

 

 

JUMLAH

100%