Tiktok Mekyuhhh

Showing posts with label cOrETaN bUaT aNaKkU. Show all posts
Showing posts with label cOrETaN bUaT aNaKkU. Show all posts
Wednesday, 1 April 2026

Keputusan SPM untuk Kakak

 


Semalam 31/03/2026 adalah Hari keputusan SPM untuk putri… hari yang kami tunggu dengan penuh harapan.

 

Sejujurnya, dia letak target yang tinggi. Dan sebagai ibu, aku sendiri nampak betapa bersungguhnya dia berusaha. Malam-malam berjaga, ulangkaji tanpa jemu, tekanan yang dia tanggung semua itu aku jadi saksi. Sebab tu, bila keputusan tak seperti yang dia harapkan, aku tahu hati dia pasti kecewa.

 

Tapi kakak, dengar sini… usaha kakak tak pernah sia-sia. Keputusan hari ini bukan penamat, jauh sekali penentu seluruh masa depan kakak. Kadang-kadang kita merancang dengan penuh harapan, tapi perancangan Allah jauh lebih tepat dan penuh hikmah yang kita belum nampak hari ini.

 

Jangan sedih terlalu lama. Rasa kecewa tu normal, tapi jangan biarkan ia patahkan semangat kakak. Ibu bangga dengan kesungguhan kakak, bukan semata-mata pada angka di kertas.

 

Apa pun jalan yang kakak pilih selepas ini, ibu sentiasa ada di belakang kakak. Ibu akan terus doakan kejayaan kakak  dalam apa jua bidang yang kakak ceburi nanti.

 

Ini bukan pengakhiran, ini cuma permulaan cerita yang lebih besar untuk kakak.



 

Sunday, 4 January 2026

Kakak start Kerja di Mixue 02/01/2025


Kakak Dah Start Kerja di Mixue

Alhamdulillah, kakak dah mula kerja di Mixue. Langkah kecil untuk belajar berdikari, kenal dunia kerja dan urus tanggungjawab sendiri. Walaupun bukan kerja besar, tapi pengalaman tu yang mahal nilainya.

Hari ni dia masuk kerja pukul 1 petang. Aku yang hantar.
Dalam kereta, aku tengok wajah dia—tenang, tapi aku tahu dalam hati mesti ada debar. Anak yang dulu aku hantar ke sekolah, hari ni aku hantar ke tempat kerja. Bezanya cuma beg dan uniform, tapi perasaannya lain.

Sebagai mak, rasa bercampur-baur—bangga, risau dan terharu. Bangga sebab dia berani mula. Risau sebab tahu dunia kerja bukan semuanya manis. Tapi dalam masa yang sama, inilah proses untuk dia belajar sabar, disiplin dan hormat masa.

Semoga kakak kuat, rajin belajar dan jaga diri. Moga Allah permudahkan urusan dia, lindungi langkah dia dan jadikan setiap pengalaman ni sebagai bekal untuk masa depan nanti 🌱


Saturday, 3 January 2026

Wayang Cerita Papa Zola


Tengok Wayang Cerita Papa Zola

Sempena cuti hujung tahun, kami sekeluarga ambil peluang tengok wayang cerita Papa Zola. Tiket kami order pada 30hb dan tayangan pula jatuh pada 1/1/2026. Awal tahun, buka langkah dengan aktiviti keluarga—simple tapi bermakna.

Sebenarnya, cerita ni bukan idea saya. Ia adalah request daripada si Adha @ Firdaus. Katanya nak sangat tengok sebab kawan-kawan dah cerita awal-awal, jadi kami pun ikutkan saja permintaan anak. Kadang-kadang, bila anak minta, kita sebagai mak ayah ni pun nak tengok apa yang buat mereka tertarik.

Apa yang buat saya tersentuh, Firdaus betul-betul faham jalan cerita. Ada beberapa babak yang buat dia menitik air mata. Bukan drama kosong, tapi emosi tu sampai. Dari situ saya nampak, cerita ni ada mesej yang kuat tentang keluarga, pengorbanan dan perasaan seorang anak terhadap ayah.

 



Dari segi keseluruhan, cerita Papa Zola memang seronok, cuma pada pendapat saya agak berat sedikit untuk anak-anak bawah 8 tahun. Ada babak dan emosi yang mungkin mereka belum betul-betul faham, tapi untuk anak yang dah boleh bezakan perasaan dan jalan cerita, ia memang beri kesan.

Overall, pengalaman tengok wayang kali ni memang berbaloi. Cerita jalan, emosi sampai dan masa keluarga pun terisi.


Kalau nak bagi markah, saya bagi 8/10 

 


Kadang-kadang, wayang bukan sekadar hiburan… tapi ruang untuk kita faham hati anak-anak juga 



Wednesday, 24 December 2025

Putri Ke Interview


Sabtu Lepas & Temu Duga Pertama Putri

Sabtu lepas, aku temankan anak aku, si Putri, pergi temu duga kerja. Destinasinya sebuah kedai baju Anggun dengan Watson. Interview kecil-kecilan je, tapi sebagai seorang ibu, perasaan dia tetap besar. Debar tu bukan pada anak saja, ibu dia ni pun tumpang rasa.

Putri baru lepas SPM. Dunia dia sekarang sedang beralih fasa daripada rutin sekolah kepada dunia kerja sebenar. Aku tengok dia bersiap hari tu, kemas, sopan, dan lebih matang daripada yang aku jangka. Dalam diam, aku tersenyum. Anak kecil yang dulu aku pegang tangan ke sekolah, hari ni melangkah sendiri ke interview.

Sepanjang menunggu, aku bagi pesanan ringkas je:
“Jawab jujur, bercakap sopan, dan jadi diri sendiri.”
Tak perlu terlalu sempurna, cukup tahu hormat dan ada usaha nak belajar.

Tak kisahlah apa keputusannya nanti, aku percaya setiap pengalaman tu adalah proses. Interview pertama, pengalaman pertama, langkah pertama ke alam dewasa. Sebagai ibu, tugas aku cuma satu, teman dari belakang, doa dari jauh, dan percaya pada langkah anak sendiri.

Semoga dipermudahkan urusan Putri. Kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Kalau belum, tak apa… kita belajar dan cuba lagi. 


Tuesday, 23 December 2025

Kakak Dah Habis SPM, Sekarang Nak Rasa Dunia Kerja




Kakak dah habis exam SPM. Lega, penat, dan mungkin juga sedikit kosong. Lepas bertahun-tahun hidup dengan jadual sekolah, buku dan peperiksaan, tiba-tiba masa jadi panjang. Dan ayat yang keluar dari mulut dia buat aku senyum campur risau.

“Lepas ni kakak nak kerja.”

Dia kata tak kisah kerja apa. Asalkan kerja. Cuma satu je syarat tak nak kedai makan sebab penat. Mungkin dia pernah tengok orang kerja dapur, berdiri lama, kejar masa, tangan tak sempat rehat. Dari situ dia belajar, kerja cari duit ni bukan main-main.

Sebagai orang dewasa, aku faham. Kerja kedai makan memang bukan mudah. Panas, letih, sabar kena tebal. Tapi dalam masa yang sama, aku kagum dengan cara dia berfikir. Dia bukan pilih kerja ikut glamour, tapi ikut kemampuan diri.

Aku tak harap dia terus dapat kerja sempurna. Cukuplah kerja yang ajar dia tanggungjawab, disiplin dan nilai duit. Biar dia rasa penat cari duit sendiri, supaya dia lebih faham erti usaha.

Habis SPM bukan terus kena tahu semua jawapan hidup. Ada yang sambung belajar, ada yang kerja dulu, ada yang ambil masa cari arah. Semua itu proses. Tak salah nak cuba, tak salah nak salah, asalkan belajar.

Doa aku sebagai keluarga, semoga apa jua langkah kakak lepas ini, dia dipermudahkan. Dunia luar sekolah luas dan kadang-kadang keras, tapi semoga dia jumpa pengalaman yang buat dia lebih kuat dan matang.

Pelan-pelan kakak. Hidup ni bukan larian pecut, tapi perjalanan jauh.

Saturday, 20 December 2025

Cuti Sekolah dah Nak mula, Hati Ibu Pun Mula Berfikir

 

Minggu depan cuti sekolah dah nak mula. Sebagai seorang ibu, aku dah siap-siap beli buku untuk Adha buat ulang kaji. Bukan sebab nak tekan, tapi sebab aku risau. Risau kalau aku ambil mudah, nanti dia yang tertinggal. Kali ini aku kena straight dengan Adha. Bahasa Melayu memang subjek paling lemah dia. Bukan sekali dua aku perasan, tapi dah lama. Cuma selama ni aku pujuk diri sendiri, mungkin dia akan faham sendiri, mungkin nanti dia ok. Tapi bila tengok keputusan dan cara dia jawab soalan, aku tahu aku tak boleh lagi berdiam.


Dalam diam, aku tertanya… aku yang salah ke? Salah sebab tak cukup pantau? Salah sebab terlalu lembut? Atau salah sebab baru sekarang nak tegas? Hakikatnya, tegas itu bukan marah. Tegas itu tanda peduli. Kalau aku diam, siapa lagi nak tolong dia? Tapi sebagai ibu, bila suara naik sikit pun hati dah rasa bersalah. Antara nak jadi ibu yang memahami, dan ibu yang bertanggungjawab, garisnya terlalu halus.


Aku tahu Bahasa Melayu bukan sekadar subjek peperiksaan. Ia bahasa kita, cara kita berfikir dan menyusun ayat. Aku tak harap Adha jadi hebat dalam masa cuti ni, cukuplah dia berani mencuba, berani salah, dan tak lagi takut dengan BM.


Mungkin aku bukan ibu yang sempurna. Tapi aku ibu yang cuba. Cuti sekolah ini bukan tentang paksa, tapi tentang temani. Duduk sebelah, buka buku sama-sama, dan yakinkan dia lemah hari ini bukan penamat selamanya. Huhuhu… doa ibu tak pernah putus. Semoga usaha kecil ini jadi langkah besar untuk Adha nanti.

Sunday, 14 December 2025

Along kemalangan - 11/12/2025 (Khamis)


Pada khamis lepas aku dikejutkan dengan satu berita yang benar-benar merisaukan. Along terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang dari kerja. Dia dibonceng oleh kawannya yang menunggang motosikal. Menurut Along, kejadian berlaku apabila kawannya memotong di garisan berkembar (double line). Tindakan itu menyebabkan mereka bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki yang ketika itu turut membawa keluarganya.

Impak perlanggaran tersebut sangat kuat. Along mengalami tangan patah, dan bahagian pergelangan tangan bengkak teruk, sehingga terpaksa disimen sebaik saja tiba di hospital. Walaupun menahan sakit, Along masih mampu bercerita dan berada dalam keadaan sedar, itu satu kelegaan besar buat aku.

 


Apa yang membuatkan kami lebih tersentuh, pemandu kereta itulah yang segera membantu menghantar Along ke hospital. Walaupun dia dan keluarganya turut terkejut dengan kejadian itu, dia tetap mengutamakan keselamatan Along dan kawannya. Sikap prihatin beliau sangat aku hargai.

Syukur, semuanya selamat daripada kecederaan lebih serius. Semoga Along cepat sembuh dan dijauhkan daripada sebarang komplikasi. Kejadian ini menjadi peringatan besar bahawa satu tindakan cuai di jalan raya boleh memberi kesan kepada ramai orang.

Wednesday, 10 December 2025

Majlis Apresiasi Si Putri

 


Pada Jumaat, 5 Disember 2025, hari Putri memang marathon dari pagi sampai malam. Pagi hingga 5 petang dia dan kawan-kawan masih di sekolah, ikut kelas tambahan terakhir sebelum paper SPM. Habis kelas jam 5 petang, diorang terus pecut keluar macam bunyi loceng sekolah tu bagi tenaga tambahan. Putri dan kawan baik dia balik rumah dulu ambil baju dan kelengkapan semua terus ke Palm Mall Hotel, sebab mak kawan dia dah booking bilik khas untuk budak-budak ni bersiap. Memang heaven la Putri… penat sekolah hilang sekejap.

Gaun yang dia sewa dengan harga RM150 tu memang cantik, tapi berat macam bawa langsir hotel siap rel sekali.2 jam pakai macam nak tumbang dia cerita... heheheh. mula-mula Gaun tu sampai dia tengok mcm vougue sangat dan malu nak pakai so ibu dia paksa juga untuk pakai sebab dah sewa kan.

Majlis start majlis pukul 8.00 malam, Putri cerita 2 jam majlis tu lebih penat daripada 10 jam kelas tambahan. Sebab sepanjang majlis dia asyik pegang gaun, angkat gaun, tarik gaun, adjust gaun. Bila nak bangun ambik makanan, berat. Nak duduk, ketat. Nak posing, gaun jatuh sebelah. Memang challenge kecantikan sebenar.




Tapi sebab tema malam tu “Smart & Elegant”, Putri tetap maintain. Walaupun dalam hati menjerit, luaran tetap senyum macam Miss Grand Seremban 2025. Kawan-kawan pun siap gelak, “Putri… gaun kau ni kalau buat workout boleh turun 2kg ni…”

Walaupun berat, gaun tu buat Putri nampak sangat anggun malam tu sampai cikgu pun puji. Dan walaupun penat, moment itulah yang Putri akan ingat sampai bila-bila dari kelas tambahan 5 petang, bersiap riuh di bilik hotel, sampai la menahan gaun yang berat sepanjang 2 jam majlis, semuanya jadi kenangan paling lucu dan paling sweet untuk penutup Tingkatan 5.

 





Tuesday, 25 November 2025

SPM 2025 (25/11/2025 - 23/12/2025)

 

 "Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim..
*Harini anak² soleh & solehah  Batch 2025 akan menduduki peperiksaan SPM.

Kurniakan mereka kesihatan baik yg berterusan, selamatkan perjalanan mereka ke tempat peperiksaan, lindungi drp halangan dan rintangan.

Ya Allah, mudahkan setiap soalan bagi mereka, tajamkan akal fikiran mereka, lancarkan penulisan mereka, ingatkan apa yg mereka lupa dan bantu mereka utk menjawab soalan dgn tepat dan betul sepertimana skema jawapan.

Kurniakanlah kejayaan yg cemerlang kpd mereka.Ya Allah..kami tiada daya dan upaya melainkan dgn pertolongan Mu semata-mata...Aamiin3 yra

 

Hari ini exam : BM1, PSV, BM2 

Tuesday, 18 November 2025

Semalam Si Kakak Exam Amali Fizik


Semalam hati aku rasa tak keruan sikit. Anak aku ada exam amali Fizik. Lepas habis exam, dia terus call aku sambil menangis, suara tersekat-sekat. Katanya dia tak sempat nak siapkan semua amali tu… terus luluh hati aku dengar.

Sebagai mak, kita kalau boleh nak angkat semua beban anak. Tapi ada benda yang kita tak boleh ubah apa yang dah berlaku. Jadi aku tenangkan dia. Aku cakap, “Perkara dah lepas, awak dah buat yang terbaik. Mungkin Allah bagi rezeki setakat itu je untuk hari ini. Jangan rasa down… yang penting sekarang fikir hari seterusnya, fikir exam yang awak masih akan tempuh.”

Aku tahu dia dah usaha. Aku tahu dia study sampai lewat malam. Dan aku percaya, bila kita dah buat sehabis baik, selebihnya serah pada Allah. Kadang benda kecil macam ni pun boleh buat mak rasa sebak, sebab kita cuma nak anak rasa kuat dan tak putus harapan.

Semoga esok-esok dia lebih tenang, dan semoga segala urusan exam seterusnya dipermudahkan. Ibu sentiasa doakan yang terbaik buat Along, kakak dan adik 

Friday, 17 October 2025

Hari Kanak-Kanak tema Kerjaya di Sekolah Adha

 


Hari ni sekolah Adha sambut Hari Kanak-kanak dengan tema kerjaya. Dari awal minggu lagi dia dah teruja, siap bagitahu nak pakai uniform bomba. Katanya sebab bomba berani, bantu orang masa kebakaran, dan naik lori besar warna merah. Semangat sungguh dia bercerita, siap suruh ibu jangan lupa cari baju bomba untuk dia.

Ibu pun mulalah misi mencari. Mula-mula ingat senang je nak dapat — rupanya tak! Pergi kedai baju pun tak ada. Nak beli online memang dah tak sempat, esok dah kena pakai. Dalam hati ni dah mula risau, sebab takut dia kecewa kalau tak dapat jadi “abang bomba” macam yang dia idamkan.

Petang semalam ibu nekad, bawa juga pergi Mydin. Harapan tu tinggal separuh je masa masuk kedai, tapi gigih jugalah pusing satu bahagian ke satu bahagian. Akhirnya jumpa… seluar askar. Itu je yang paling hampir dengan konsep “kerjaya” dan nampak macam uniform juga.

Pagi tadi masa hantar dia ke sekolah, tengok dia berjalan penuh yakin dengan seluar askar dan senyuman lebar tu — terus rasa terharu. Walaupun bukan lengkap macam yang diimpikan, tapi yang penting dia gembira dan bersemangat. Kadang-kadang bukan tentang pakaian atau tema yang sempurna, tapi tentang rasa bahagia dan keyakinan kecil dalam diri anak tu.

Kadang-kadang ibu lupa, bukan semua benda perlu sempurna baru boleh membahagiakan anak. Kita ni selalu sibuk nak bagi yang “terbaik”, sampai lupa kadang yang anak perlukan cuma usaha kecil dan kasih sayang yang ikhlas.

Hari ni ibu belajar sesuatu — bahawa kegembiraan anak tu datang bukan daripada baju mahal atau uniform lengkap, tapi daripada rasa dihargai dan dilayan dengan penuh perhatian. Bila tengok senyuman Adha masa dia sarung seluar askar tu, terus rasa lega.

Terima kasih, Adha, sebab ajar ibu erti bahagia yang sebenar — yang datang daripada hati yang tulus dan puas walau dengan apa yang ada. 

Sunday, 5 October 2025

Kes Buli Menjadi-jadi, sediakan Silat untuk anak




Sejak kebelakangan ni, makin kerap kita dengar cerita tentang kes buli. Kadang-kadang sampai naik geram bila baca berita – anak orang jadi mangsa, ada yang cedera, malah ada yang trauma nak ke sekolah. Sebagai mak ayah, memang hati jadi tak tenang bila fikirkan keselamatan anak-anak sendiri.

Suami saya selalu cakap, “Zaman kita dulu kalau gaduh, gaduh mulut aje… sekarang lain. Budak-budak makin berani, siap rakam lagi buat content.” Memang betul pun, rasa risau tu lain macam. Jadi baru-baru ni, suami terlintas nak hantar anak ke kelas silat. Katanya, bukan untuk bergaduh atau tunjuk kuat, tapi sekurang-kurangnya anak ada ilmu pertahanan diri.

Saya pun setuju. Silat bukan sekadar seni bela diri, tapi ada disiplin, ada adab, ada hormat. Kalau anak belajar silat, bukan saja dia tahu cara nak jaga diri, tapi juga boleh tanamkan keyakinan dan keberanian dalam diri. Kita pun rasa lebih lega bila tahu anak bukan jenis mudah dibuli, malah tahu cara nak elak dan lawan bila terdesak.

Kadang-kadang kita tak mampu nak ubah dunia luar yang penuh cabaran, tapi kita boleh sediakan anak dengan benteng diri. Biarlah dia kecil-kecil belajar, sebab ilmu tu insyaAllah akan jadi bekalan sepanjang hayat.

Semoga anak-anak kita sentiasa dilindungi dan diberi kekuatan menghadapi zaman yang makin mencabar ni.

Friday, 26 September 2025

Firdaus & Cerita Gunting Rambut


Kalau orang lain, bab gunting rambut ni perkara biasa je. Masuk kedai, duduk, potong, bayar, siap. Tapi lain pula ceritanya dengan anak aku, si Firdaus. Entah kenapa, setiap kali dia gunting rambut, mesti dia akan demam selepas itu. Macam satu “pakej” yang tak pernah gagal.

 


Mula-mula aku ingat kebetulan saja. Sekali, dua kali masih boleh kata “alah, mungkin terkena angin, mungkin cuaca panas”. Tapi bila dah jadi hampir setiap kali, memang aku sendiri pun naik pelik. Lepas gunting rambut, balik rumah elok je nampak segar. Tapi bila malam menjelma, badan mula panas. Esoknya sah – demam!

Kadang-kadang aku rasa kelakar pun ada, macam Firdaus ni ada “pantang larang” sendiri. Kalau nak rambut kemas, kena lah siap-siap standby ubat demam sekali. Kalau tak, memang tak sah.

Tapi dalam hati aku, tetap juga timbul risau. Mungkin badan dia sensitif, atau kulit kepala dia tak tahan bila terkena angin lepas rambut dipotong. Apa pun, sebagai ibu bapa kita kena ambil berat. Kadang aku usik dia, “Firdaus ni gunting rambut macam masuk hospital package sekali.” Dia senyum je walaupun tengah tak larat.

Walau apapun cerita kecil ni, ia tetap jadi kenangan manis yang buat aku rasa lebih dekat dengan dia. Setiap anak ada keunikan masing-masing, dan bagi Firdaus, kisah gunting rambut + demam ni lah salah satunya.


Tuesday, 9 September 2025

Adha Sertai Pertandingan Nyanyian Lagu Merdeka!


Hari ini rasa bangga sangat dengan Adha. Sekolah dia buat pertandingan nyanyian lagu Merdeka, dan Adha masuk bersama rakan-rakan sekelas. Lagu yang mereka pilih ialah Malaysia Baru – lagu yang penuh semangat, sesuai untuk anak-anak kita belajar erti kemerdekaan.


Sudah berminggu-minggu Adha sibuk berlatih. Sampai kat rumah pun dia humming lagu tu, siap ajak ibu sama-sama nyanyi. Kadang-kadang tersasul lirik, terus gelak besar. Riuh betul!

Bila tengok semangat anak-anak kecil ni, rasa sebak. Mereka mungkin baru 7 tahun, tapi mereka sudah belajar apa maksud sayang negara. Bukan sekadar hafal lagu, tapi ada rasa bangga bila sebut nama Malaysia.

Untuk ibu bapa lain, jom kita sama-sama pupuk semangat patriotik dalam diri anak-anak. Biar mereka tahu, Merdeka bukan sekadar cuti, tapi tanda kita bebas, bersatu dan saling menghargai. Bila kita mula dari rumah, insyaAllah mereka akan membesar dengan rasa cinta pada negara.

Ibu doakan Adha dan kawan-kawan buat yang terbaik nanti. Menang atau tidak, yang penting mereka sudah tanam semangat patriotik dari sekarang. Merdeka! Hidup Malaysia! 

Anak Bongsu Suka Tidur Celah Ketiak Ibu – Umur Dah 7 Tahun Pun Masih Manja

 


Kalau orang tengok anak bongsu saya, mesti ingat dia ni bayi lagi. Padahal umur dah 7 tahun! Tapi perangai… masih nak tidur celah ketiak ibu!

Setiap malam, rutin dia sama: “Ibu, saya nak tidur sebelah ibu.” Saya pun macam, “Ya Allah, dah darjah satu pun tak nak berenggang!” Tapi bila tengok muka dia, terus kalah. Nak marah pun tak jadi.

Masalahnya, dia bukan setakat tidur sebelah. Dia tidur rapat macam gam UHU! Kadang-kadang tangan saya kebas sebab dia peluk ketat. Kalau saya alih tangan pelan-pelan, dia terus bangun separuh sedar, tarik balik tangan saya sambil cakap, “Ibu jangan pergi.” Macam hero drama Korea, bezanya ni hero versi comel dan berbau Milo.

Kadang saya fikir, “Anak orang lain umur 7 tahun tidur sendiri, anak aku ni bila?” Tapi bila dia tidur dengan muka tenang, peluk saya macam tak nak lepaskan, hati saya terus cair. Rasa macam, inilah nikmat jadi ibu.

Orang kata, anak bongsu ni lain sikit. Mereka rasa selamat bila ada ibu. Siang dah banyak masa di sekolah, malam sajalah masa nak bermanja. Walaupun kadang-kadang saya rasa lenguh, hakikatnya saya tahu… satu hari nanti, dia akan besar. Dia akan malu nak tidur dengan ibu. Dia akan kata, “Ibu, saya nak bilik sendiri.” Masa tu, saya pula yang akan rindu bau dia, pelukan dia, dan rindu bunyi nafas dia sebelah telinga.

Jadi sekarang, walaupun tangan kebas, walaupun peluh bercampur bau Milo… saya tetap biarkan. Sebab saya tahu, moment ini cuma sekali dalam hidup.

Kalau sekarang dia nak celah ketiak ibu, biarlah. Sebab esok-esok bila dia dah besar, celah ketiak ibu pun dia tak pandang.



Penutup Untuk Semua Ibu

Kalau anda ada anak kecil yang suka melekat, suka tidur rapat, jangan cepat marah. Jangan rasa rimas. Nikmati momen itu selagi boleh. Sebab anak-anak ni membesar sekejap saja. Hari ini dia peluk kita ketat-ketat, esok-esok dia sibuk dengan dunia dia sendiri.

Masa itu, kita pula yang akan baring dalam bilik, pegang bantal sambil teringat, “Dulu… ada seorang kecil yang suka tidur celah ketiak aku.”
Jadi sementara mereka masih kecil, peluklah mereka kuat-kuat. Sebab bila mereka besar nanti, kita hanya ada kenangan untuk dipeluk. ❤️

Thursday, 4 September 2025

Peperiksaan Percubaan SPM: Detik Mendebarkan untuk Si Kakak


Bermula 25 Ogos hingga 11 September, rumah kami terasa lain daripada biasa. Si kakak sedang menempuh satu fasa penting dalam hidupnya – peperiksaan percubaan SPM. Sebagai ibu, saya boleh rasa debaran itu walaupun saya yang tidak menduduki peperiksaan. Kakak mengambil aliran Sains Tulen, jadi boleh bayangkanlah bagaimana padatnya jadual dan betapa mencabarnya subjek yang perlu dihadam – Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan beberapa subjek lain.

Sejak bermulanya minggu peperiksaan ini, suasana di rumah jadi lebih tenang (kadang-kadang tegang juga!). Kakak banyak menghabiskan masa di bilik, ulang kaji dan buat latihan. Kadang-kadang saya tengok dia termenung lama sambil pegang kalkulator – mungkin sedang berperang dengan Add Math yang terkenal sebagai ‘killer subject’ tu.

Sebagai ibu bapa, apa yang saya boleh buat hanyalah beri sokongan. Saya pastikan dia cukup makan, tidur yang berkualiti, dan saya cuba elakkan daripada bertanya soalan yang boleh buat dia stress. Percubaan ini bukan sekadar ujian, tapi satu peluang untuk kakak ukur sejauh mana dia bersedia untuk SPM sebenar nanti.

Saya doakan semoga semua ilmu yang kakak pelajari selama ini dipermudahkan untuk diingat, dan semoga segala usaha kerasnya membuahkan hasil yang terbaik. Ingat, percubaan hanyalah satu langkah menuju kejayaan yang lebih besar. Yang penting, jangan putus asa dan terus berjuang sampai habis!

Good luck, kakak! Ibu sentiasa di belakang mendoakan yang terbaik untuk kamu.

Friday, 22 August 2025

Selamat Hari Lahir, Permata Hati Bongsuku ke 7

 



Hari ini genap usiamu setahun lagi, wahai anak bongsuku yang sentiasa menceriakan hari-hari ibu. Sejak kehadiranmu, hidup ibu dan ayah terasa lebih lengkap. Suaramu, gelak tawamu, dan rengekan manjamu menjadi irama yang tak pernah jemu kami dengar.

Anakku sayang,
Engkau mungkin yang terakhir lahir dalam keluarga kecil ini, tapi kasih sayang kami untukmu tiada penghujungnya. Setiap langkahmu membesar, setiap perkataan barumu, setiap kejayaan kecilmu – semuanya ibu simpan dalam hati sebagai kenangan terindah.

Ibu doakan agar kamu membesar menjadi anak soleh, penyejuk mata dan hati. Semoga hidupmu sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah SWT. Moga hatimu lembut dan kuat, akalmu cerdas, dan jiwamu dipenuhi iman dan kasih sayang.

Terima kasih kerana memilih ibu sebagai tempat kamu memanggil "ibu" – panggilan yang sangat istimewa dan takkan pernah ibu bosan dengar.

Selamat hari lahir, anak bongsu ibu. Moga tahun-tahun mendatang membawa lebih banyak bahagia untukmu dan untuk kita sekeluarga.

Dengan kasih yang tak bertepi,
Ibu.


Sunday, 17 August 2025

Ucapan Hari Lahir Buat Puteri Kedua Ibu ke 17


Kepada Kakak,
Selamat hari lahir buat anak perempuan ibu yang ke-2, cahaya hati yang comel, manja, dan penuh keistimewaan tersendiri.

Setiap kali tiba hari lahirmu, ibu terkenang kembali saat Allah titipkan kamu dalam rahim ini. Dari awal kehadiranmu, ibu tahu… kamu membawa warna yang berbeza. Walaupun kamu bukan anak sulung, tempatmu di hati ibu tetap istimewa. Kerana setiap anak hadir dengan rezeki dan kisah yang tersendiri.

Ibu ingat lagi senyuman pertama kamu, tangisan manjamu, cara kamu memeluk ibu bila takut, dan gelak ketawa kamu yang menceriakan rumah ini. Kamu seorang anak yang lembut jiwanya, kuat hatinya, dan sangat penyayang. Walau kadang-kadang ada rajuk dan tangis, itu semua hanya menambah manisnya kasih sayang ibu pada kamu.

Sebagai anak kedua, mungkin kadang-kadang kamu rasa terpinggir… tapi ketahuilah Kakak, kasih ibu tak pernah kurang untuk sesiapa. Kamu bukan bayang Along atau adikmu, kamu adalah kamu — unik, berharga, dan sangat istimewa di mata ibu.

Hari ini, ibu hanya mahu kamu tahu betapa ibu bangga melihat kamu membesar. Doa ibu setiap hari agar Allah melindungimu, menjadikanmu anak solehah, pintar, lembut budi, dan sentiasa dalam rahmat-Nya.

Teruskan menjadi cahaya keluarga kita. Usah takut untuk bermimpi besar. Jadilah perempuan yang tahu nilai dirinya, yang kuat imannya, dan tinggi maruahnya. Dan jangan lupa… dalam apa jua yang kamu lalui, ibu sentiasa di sini — menyokong, mendoakan, dan menyayangi kamu tanpa syarat.

Selamat ulang tahun kelahiran, Kakak. Semoga setiap tahun yang berlalu membawa lebih banyak bahagia, ilmu, dan keberkatan dalam hidupmu.
Ibu sayang kamu, dunia dan akhirat.

Wednesday, 13 August 2025

13 Ogos 2025 – Hari Kidal Sedunia


Hari ni 13 Ogos 2025, rupanya adalah Hari Kidal Sedunia! Bagi orang biasa, mungkin tarikh ni tak ada apa-apa yang istimewa… tapi bagi kami sekeluarga, ia memang ada makna. Sebabnya, si kakak yang manis tu adalah seorang kidal tulen.

Sejak kecil lagi, saya perasan dia lebih selesa menulis, melukis, dan buat semua kerja guna tangan kiri. Mula-mula dulu, orang sekeliling suka tegur, “Eh… kenapa tak guna tangan kanan?” Tapi saya selalu jawab dengan bangga, “Biarlah… tangan kiri dia tu ada seni tersendiri.”

Bagi saya, jadi kidal ni unik. Tak ramai yang ada keistimewaan tu. Malah, saya perasan anak saya jadi lebih kreatif, cepat belajar cara lain untuk buat sesuatu, dan kadang-kadang pandangan dia tentang dunia pun berbeza. Bila tengok dia menulis sambil tangan kiri melintang pelik tu, saya rasa macam tengok seni jalanan dalam bentuk manusia.

Hari ni, saya nak ucap Selamat Hari Kidal Sedunia buat semua yang menggunakan tangan kiri sebagai kawan baik mereka. Teruslah jadi unik, teruslah buat dunia nampak dari sudut yang berbeza.

Dan untuk si kakak… ibu bangga dengan kamu, bukan sebab kamu kidal je, tapi sebab kamu ajar ibu bahawa jadi lain daripada orang lain itu bukan kelemahan, tapi anugerah. 

Saturday, 9 August 2025

Ucapan Hari Lahir Buat Anak Sulung Ibu ke 24



Anakku yang sulung,
Selamat hari lahir, wahai permata hati ibu yang pertama. Hari ini genap usiamu setahun lagi, dan seperti setiap tahun yang berlalu, ibu terkenang kembali detik pertama kau hadir dalam hidup ini.

Saat kau lahir, dunia ibu berubah sekelip mata. Dari seorang wanita biasa, ibu menjadi seorang ibu — belajar memberi tanpa syarat, menyayangi tanpa jemu, dan menjaga tanpa kenal erti lelah. Kau ajar ibu erti cinta yang paling tulus, kasih yang tak pernah ada noktah.

Kau membesar di depan mata ibu — dari tangan kecil yang menggenggam jari ibu, ke langkah pertama yang terhuyung-hayang, hingga ke saat kau mula memanggil ibu dengan suara comel yang kini makin matang. Setiap fasa hidupmu adalah kenangan yang ibu simpan rapi dalam hati.

Sebagai anak sulung, kau sering jadi contoh. Mungkin kadang-kadang ibu terlalu tegas, terlalu berharap, terlalu cepat menegur. Tapi percayalah, semuanya lahir dari kasih yang mendalam, kerana ibu ingin lihat kau membesar menjadi lelaki yang kuat imannya, lembut hatinya, dan tinggi akhlaknya.

Hari ini, ibu doakan semoga Allah memberkati setiap langkahmu, membuka jalan-jalan kebaikan untukmu, melindungi dirimu dari segala keburukan dunia, dan menjadikanmu anak yang berbakti, lelaki yang bertanggungjawab, serta hamba Allah yang sentiasa merendah diri.

Terima kasih kerana menjadi anak yang membanggakan, penyeri keluarga, dan penenang hati ibu. Ibu sentiasa ada untukmu — dalam doa, dalam diam, dalam setiap hela nafas.

Selamat hari lahir, anak sulung ibu. Teruslah menjadi cahaya dalam hidup kami. Ibu sayang kamu, hari ini, esok dan selama-lamanya.