14 Februari 2026 memang jadi tarikh yang manis buat Faizal dan Mardiha. Majlis Sambut Menantu mereka berlangsung dengan penuh meriah dan dihadiri lebih kurang 500 orang tetamu. Dari tengah hari lagi suasana dah mula terasa hangat dengan gelak tawa dan ucapan tahniah tak putus-putus.
Majlis bermula jam 12.00 tengahari hingga 4.00 petang, tapi rasa macam sekejap saja masa berlalu sebab orang datang silih berganti. Seronok tengok keluarga dan kawan-kawan berkumpul, ambil gambar, bersembang dan sama-sama meraikan pasangan pengantin.
Bab makanan memang tak mengecewakan. Menu utama seperti nasi putih, ayam masak merah, daging masak hitam dan gulai lemak cili api nenas campur ikan masin memang jadi tumpuan. Tambah pula dengan sambal belacan, ulam-ulaman dan ikan masin goreng memang rasa kampung yang buat orang teringat nak tambah lagi.
Bahagian pencuci mulut pun meriah dengan pelbagai dessert, cendol yang sejuk dan aneka agar-agar yang cantik warna-warni. Ramai yang ulang-alik ke meja manisan, tak terkecuali aku sendiri.
Tema majlis kali ini ialah strawberry matcha. Gabungan warna hijau dan merah jambu tapi kami pilih warna fucian pink atau (hot pink) buat suasana nampak segar, manis dan sangat sesuai dengan mood majlis. Dekorasi ringkas tapi cantik, cukup untuk bagi rasa cozy dan ceria.
Aku pun antara yang terlibat sama dalam menjayakan majlis ni. Penat tu memang ada, tapi rasa puas bila tengok semuanya berjalan lancar. Bila tetamu senyum puas hati dan majlis selesai tanpa masalah besar, itu dah cukup buat hati rasa lega.
Tahniah buat Faizal dan Mardiha. Semoga perjalanan hidup bersama selepas ini sentiasa dipenuhi kasih sayang, rezeki yang luas dan kebahagiaan yang berpanjangan









Be First to Post Comment !
Post a Comment