bila bicara perlu berhati-hati, penulisan perlu dari hati...

Saturday 19 June 2010

Petua Menggoda Suami di Usia 40



ANGKA 40 membawa persepsi yang berbeza terhadap lelaki dan wanita. Bagi
lelaki usia 40 dianggap sebagai permulaan hidup baru, semangat baru,
semakin matang. Bagi wanita usia 40 dikaitkan dengan perkara-perkara
negatif, dan selalu dikaitkan dengan musim saham mula menurun. Bukan
berniat merendahkan orang perempuan, jauh sekali untuk memperlekeh kaum
wanita. Cuma saya ingin bercakap perkara yang betul di depan mata. Satu
hakikat perihal Adam dan Hawa.

Macam mana pun golongan pejuang wanita menegaskan tidak ada beza antara
lelaki dan perempuan, saya tetap berasa ada perbezaan yang jelas. Ini bukan
soal fizikal - yang memang jelas ada bezanya - tetapi ciri-ciri lain yang
menyebabkan Leha dan Leman tidak serupa. Sebenarnya, awal-awal sudah
berbeza. Dari segi tahap kematangan semua orang mengakui perempuan lebih
cepat dewasa berbanding lelaki. Anak perempuan baligh lebih awal dari
lelaki. Ada gadis yang mula haid seawal sembilan tahun. Sebaliknya, ada
lelaki yang sudah masuk usia 17 belum ada apa-apa.

Mereka yang mempunyai anak-anak lelaki dan perempuan boleh melihat hal
yang sama. Baru darjah enam anak perempuan sudah boleh diharap mengemas
bilik tidur, mencuci pinggan mangkuk, membancuh susu adik. Anak lelaki
sudah tingkatan tiga pun masih tidak tahu apa-apa. Sebab itu orang putih
kata, kehidupan seorang lelaki bermula pada usia 40 tahun. Konon, pada usia
ini lelaki menjadi lebih matang, tepat membuat keputusan, bijak memberi
cadangan, lebih penyayang, lebih prihatin, lebih itu, lebih ini. Hanya satu
yang tidak sedap, malah tidak adil: konon pada usia 40 inilah degree
kemiangan lelaki dikatakan semakin meningkat!

Miang, gatal, merenyam, gelenyar...banyak lagi istilah-istilah (maaf,
sesetengahnya tidak sesuai disiarkan sebab kedengaran kurang sopan) yang
seerti dengannya untuk menggambarkan perangai lelaki setelah melewati usia
empat puluhan. Orang perempuan selalu memberi alasan yang serupa untuk
menguatkan andaian bahawa lelaki memang miang. Antaranya, yang paling
biasa: suami mula menjeling wanita lain, suami mula main kayu tiga, suami
kahwin baru.

Bukanlah hendak menyebelah lelaki, tetapi pada hemat saya andaian seperti
itu adalah rambang, dan sekali gus tidak adil. Sebab, bilangan suami yang
main kayu tiga, atau membuka 'cawangan' baru adalah kecil, terlalu kecil.
Mungkin yang jeling-jeling wanita lain ramai, tetapi percayalah jelingan
itu tidak membawa apa-apa mudarat. Lagi pun ada sebab suami menjeling
wanita lain. Maaf cakap, ketika suami mula 'meriah habis' pada usia 40,
wanita pada usia tersebut dikatakan mula mengendur dan 'dingin' dalam
banyak hal. Sebenarnya, ini diakui sendiri oleh ramai wanita, sebab itu
mereka tidak suka usia empat puluhan disebut.

Pendek kata, angka 40 membawa persepsi yang berbeza kepada lelaki dan
wanita. Bagi lelaki, usia tersebut dikaitkan dengan kematangan can
kehebatan, bagi perempuan, usia tersebut sering digambarkan sebagai
peringkat saham menurun. Kalau ada suami yang mula menunjukkan tanda-tanda
'keriangan' luar biasa, saya ada panduan untuk isteri menyekat suami main
mata dengan orang lain. Kaedah ini tidak ada dalam buku motivasi
suami-isteri, tetapi boleh dicuba.

Pertama, layan suami seperti biasa. Hangatkan suasana dengan kata-kata
yang memberangsangkan. Contoh: "Fuhhh, misai abang sekarang tebal semacam,
kita tengok pun geram!" Atau: "Abang sejak minum kopi herba tu, kita rasa
luar biasa!"

Kata-kata seperti ini boleh membangkitkan semangat, dan suami merasa
dihargai. Tetapi jangan cakap sahaja, isteri patut buktikan dengan
perbuatan. Jika hanya pandai memuji misai, tetapi di bilik tidur isteri
rebah dan tidur macam tunggul, pujian tentang misai itu tidak bererti
langsung. Tidak guna menyiapkan kopi dengan tujuh ramuan herba, sekiranya
di katil isteri berdengkur kuat seperti bom, tanpa sedikit pun menghiraukan
perasaan suami yang seperti gelora tsunami.

Masalahnya ialah wanita pada usia 40, lebih-lebih lagi yang sudah beranak
ramai, sudah mula dingin seks. Bukan putus haid, tetapi mula tidak berapa
minat mengadakan hubungan kelamin. Mungkin sebab kesibukan di pejabat, atau
letih melayan anak-anak sepanjang hari di rumah, isteri menjadi pasif di
katil. Letak sahaja kepala di bantal, terus berdengkur.

Pada hemat saya, tanpa mengira usia, isteri patut bijak melakukan
reaksi-reaksi hangat semasa berdua di kamar tidur. Mungkin boleh cuba
urutan cakar harimau yang popular itu. Sambil mencakar boleh bergurau
senda, dan puji-puji tentang misai. Kalau cakaran harimau sudah mengena,
suami yang letih menjadi segar semula. Pasti suami akan membalas dengan
cakaran kucing jantan.

Bayangkan apa akan terjadi apabila cakar berbalas cakar. Tentu harimau
akan mengaum. Amaran: hati-hati sekiranya isteri berkuku panjang dan tajam,
takut tersilap cakar luka pula kulit belakang suami. Akibatnya, suami
berasa kesakitan dan mungkin menggunakan tendangan kambing gurun hingga
isteri terpelanting bawah katil!

Kedua, isteri mesti terus bergaya. Sebenarnya wanita pada usia 40-45,
masih cantik dan menawan. Masih anggun dan mempesona. Memanglah tidak
'cun-melecun' seperti gadis belasan tahun lagi 'trang-tang-tang'. Tetapi
sekiranya bijak mendandan diri, suami pasti tidak menjeling pada orang lain.

Masalahnya ialah sesetengah isteri, terutama yang menjadi suri rumah
sepenuh masa, tidak menghiraukan soal keterampilan diri. Tidaklah selekeh,
tetapi kurang mesra alam. Rambut tidak disisir, menggerbang macam langsuir
atau penunggu pohon beringin dalam Misteri Nusantara. Dahi berkerut, bibir
berkedut. Tanpa bedak, tanpa gincu. Pipi pun berminyak semacam. Sudahlah
begitu, pakaian pun asyik kain batik lusuh dengan t-shirt Pagoda leher
bulat yang ketiaknya terkoyak sedikit. Ini sudah menjadi uniform tidak
rasmi suri rumah yang tidak berseni. Sesetengahnya langsung tidak berbaju,
hanya berkemban. Sudahlah berkemban, nampak bulu ketiak keriting,
betul-betul macam ibu si Tenggang.

Percayalah, kalau rupa seperti ini yang dilihat oleh suami setiap hari,
belum masuk usia 40 tahun pun suami sudah menjeling wanita lain. Jika
hari-hari melihat puntianak atau ibu si Tenggang, suami pun berasa muak
juga. Suami pun hendak melihat benda-benda indah.
Sebenarnya, mendandan diri bukan susah sangat. Lagi pun kebanyakan suami
tidak cerewet sangat. Suami tidak mengharapkan isteri menyambutnya dengan
pakaian berjenama antarabangsa, atau jari lentik dengan kuku berwarna,
bibir merah dan basah berkilat, rambut ikal mayang teknik rebonding, alis
lentik bagai penari Mak Yong.

Apa yang dikehendaki oleh kebanyakan suami ialah penampilan seorang isteri
yang kemas, sopan dan kelihatan manja. Jangan lentuk sangat, suami naik
lemas pula. Rambut perlu disisir kemas, pada hari-hari tertentu (petang
Khamis umpamanya!) boleh letak bunga ros di kepala. Tetapi, jangan pula
terlebih hingga pacak bunga manggar di kepala. Nanti suami ingat isteri
sudah sewel.

Pipi patut dihias supaya tidak nampak berminyak macam mamak jual capati.
Kalau tidak mampu pakai bedak yang berjenama, bedak biasa pun boleh,
asalkan disapu dengan kemas. Jangan asyik lumur dengan bedak beras sejuk
sehingga wajah kelihatan seperti wayang China purba!

Tidak salah menyambut kepulangan suami dengan haruman. Semburlah pewangi
yang boleh membangkitkan semangat. Kalau tidak ada pewangi pun gunakanlah
haruman ash dari bunga cempaka, melur, kenanga atau lain-lain bunga wangi.
Kalau pun teruk memasak di dapur pastikan bau serbuk kari, sambal belacan,
budu, atau bau ikan pekasam goreng tidak melekat di tubuh. Amaran: jangan
sekali-sekali ada bau semburan ubat lipas atau kapur barus pada tubuh. Mati
selera suami.

Ketiga, mesti selalu senyum. Sambutlah suami dengan senyum paling manis.
Senyum yang ikhlas, dan bukan dibuat-buat. Ingat, orang lelaki dapat
membaca antara senyuman ikhlas dan senyum palsu. Tetapi, jangan tersengih
tidak tentu pasal, nanti suami ingat isteri tersampuk puntianak sundal
malam. Tidaklah diharapkan isteri mengurut-urut bahu atau dada suami sebaik
masuk ke rumah, lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak. Memadailah isteri
menegur: "Abang nampak letih, boleh kita ambilkan air? Abang nak air sejuk
atau air panas?"

Tetapi, jangan pula memberitahu suami benda-benda yang mungkin mematikan
semangatnya, seperti: "Tadi ada orang datang, dia kata abang dah tiga bulan
tak bayar ansuran kereta, betul ke?" Atau: "Orang sebelah tu beli TV 29
inci, boleh tak kita beli yang 36 inci?"

Keempat, ketika di bilik tidur. Ini paling penting, sebab bilik tidur
adalah tempat rehat bagi suami isteri. Tempat tidur mesti selalu kemas dan
menarik. Semburkan haruman supaya semerbak sepanjang malam. Sesekali
taburkan bunga-bunga wangi di atas tilam. Barulah bersemangat untuk cakaran
harimau atau cakaran kucing.

Malangnya, bagi isteri yang sudah melewati empat puluhan, bau haruman di
kamar beradu biasanya tidak dihiraukan lagi. Tidak ada bau minyak wangi,
seperti zaman baru-baru kahwin dulu. Apa yang memenuhi bilik tidur sekarang
hanyalah bau minyak angin.
Bilik tidur penuh dengan beraneka minyak angin. Penjuru katil ada minyak
lenguh sendi, tepi bantal ada minyak sengal tulang, atas tilam ada minyak
pening kepala, bawah katil pun ada minyak semput.

Walaupun sudah lenguh sana-sini, minyak-minyak itu bukan di kamar tidur
tempatnya. Kalau setiap malam hidung suami tersumbat bau minyak angin,
matilah seleranya untuk mencakar. Ini yang isteri kena faham.

Selamat mencakar ..... Aummmm !!!!
Be First to Post Comment !
Post a Comment