bila bicara perlu berhati-hati, penulisan perlu dari hati...

Friday 18 December 2009

Sejarah tercipta




VIENTIANE – Malaysia mencatat sejarah menjuarai acara bola sepak Sukan SEA XXV selepas 20 tahun apabila mengalahkan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos di sini, semalam.

Jaringan sendiri pemain pertahanan Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-83 ketika cuba menahan serangan Malaysia memberikan anak buah K. Rajagobal kejuaraan pertama selepas kali terakhir melalukannya pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Emas acara bola sepak semalam merupakan pingat emas ke-40 buat kontinjen negara semalam.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia mara ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA ialah pada 2001 di Kuala Lumpur tetapi kalah 1-0 kepada Thailand menerusi gol masa tambahan.

Ini merupakan kali pertama Malaysia mengalahkan Vietnam sejak 2001 pada semua peringkat kejohanan Asia Tenggara termasuk Piala Tiger.

Kemenangan semalam turut menebus kehampaan setelah kalah kepada Vietnam 3-1 pada perlawanan peringkat kumpulan.

Vietnam yang turun selaku pasukan pilihan memulakan asakan sejak awal perlawanan, namun skuad negara kental bertahan daripada dibocori.

Malaysia bangkit memberi saingan dengan asakan kemas dengan kemasukan Zaquan Adha Abdul Razak, yang pulih daripada masalah mata di babak kedua.

Hantaran silang Norshahrul Idlan Talaha ditahan oleh pemain pertahanan Vietnam sehingga masuk ke gawang sendiri, yang memberikan jaringan kemenangan kepada Malaysia pada minit ke-83.

Mengulas kemenangan bersejarah itu, Rajagobal berkata, dia amat gembira kerana berjaya memberikan kemenangan acara bola sepak Sukan SEA selepas 20 tahun menanti.

Katanya, dia bangga dengan semangat dan kesungguhan pemain di sepanjang perlawanan sehingga berjaya menjelmakan kejayaan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kemenangan ini amat besar maknanya bagi saya. Saya amat gembira kerana kami akhirnya berjaya juga memberikan kemenangan yang kita sama-sama nantikan sejak sekian lama.

“Pujian harus perlu diberikan kepada para pemain yang memberikan segala-galanya di atas padang demi merealisasikan impian kita selama ini.

“Kemenangan ini adalah untuk rakyat Malaysia. Lebih penting emas yang kita menangi ini diharap akan mengangkat kembali martabat bola sepak Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Be First to Post Comment !
Post a Comment