bila bicara perlu berhati-hati, penulisan perlu dari hati...

Friday 18 December 2009

Jodoh tidak datang menggolek

SEGELINTIR melabelkan lelaki sebagai buaya jika dia suka bertukar pasangan. Namun apabila berdepan dengan lelaki pendiam mahupun lurus bendul, mudah pula melontarkan kata-kata yang jejaka itu 'kayu', tiada perasaan dan sebagainya.

Mengenali seseorang adalah detik terindah dalam kehidupan manusia. Baik lelaki mahupun wanita, perasaan sama tetap wujud. Sifat ingin mengenali seterusnya menjalin hubungan serius adalah lumrah bagi semua orang.


Namun sebelum mengenali seseorang, kita perlu tahu masa yang sesuai untuk mengenalinya. Malam? Siang? Pagi atau petang? Kadangkala kita hanya memikirkan waktu senggang kita saja tanpa mengendahkan keadaan senggang si dia.


Serba salah dibuatnya. Tidak dihubungi, hati memberontak ingin mendengar suaranya. Apabila dihubungi, takut mengganggu dirinya.


Ada sesetengah lelaki lebih didorong rasa malu untuk memulakan sesuatu perhubungan hingga terpaksa melepaskan insan paling disenanginya gara-gara sukar mengungkapkan apa yang terpendam.


Justeru, bagaimana mahu memulakan suatu persahabatan, menjalinnya penuh berhemah dan seterusnya mengikat hubungan yang lebih serius?


Petua berikut mungkin berguna buat anda yang berkira-kira untuk memulakan suatu persahabatan yang suci:


# Cari masa yang sesuai


Ada kalanya, secara tidak sengaja adalah 'saat paling indah dalam kehidupan manusia'. Ia juga mungkin masa paling sesuai.


Ada ketikanya, anda takut untuk menelefon seseorang kerana bimbang dia mungkin sibuk tetapi tanpa diduga, dia juga menunggu anda. Jika masa untuk menghubungi itu tepat lalu perbualan akan menjadi semakin rancak dan menarik. Malah lebih banyak anda mengenali keperibadiannya.


Tetapi harus diingat, pagi adalah waktu paling sibuk bagi kebanyakan mereka yang bekerja. Masa senggangnya mungkin ketika makan tengah hari.
Namun, waktu paling baik adalah malam kerana semua beban kerja sudah tiada. Pandai-pandailah mengolah bicara jika pancing sudah mengena.


# Lebih berkeyakinan


Tidak mencuba tidak tahu. Malah 'makanan' tidak akan masuk ke dalam mulut kalau kita tidak menyuapnya.
Sama dengan usaha kerana tanpa usaha, kita mungkin akan terus ketinggalan dan akhirnya orang yang kita minat itu dipikat orang lain.
Sebaiknya, tingkatkan keyakinan diri kerana hanya orang yang berani saja akan berjaya mencapainya. Dalam apa langkah sekalipun, keyakinan amat penting kerana ia adalah "pertahanan" terakhir dalam diri anda.


# Jangan buang masa


Sebenarnya, lebih lambat anda memulakan langkah perkenalan, anda semakin rugi. Kesungguhan antara faktor serta daya penarik kerana si dia beranggapan anda benar-benar serius ingin menjalin hubungan baru dengan dirinya.


# Perlu tahu apa yang anda lakukan


Ini sangat penting kerana ada orang ingin mengenali seseorang hanya sekadar suka-suka. Ada orang pula ingin mencari jodoh dan mengimpikan ia berakhir di jenjang pelamin. Justeru, sebagai lelaki anda perlu tahu apa yang anda lakukan. Apa kehendak anda dan bagaimana ia harus diakhiri.
Segelintir yang ingin berkenalan sekadar ingin menambah koleksi bilangan teman wanita. Sebagai lelaki, fokus pada kehendak anda.
Jangan hanya dicabar teman lalu anda berusaha memikat hati si wanita dan apabila sudah dapat, anda ingin meninggalkannya. Ia nyata satu perbuatan yang tidak baik dan menghancurkan hati serta perasaan orang lain.


# Teruskan persahabatan


Sekali anda melangkah ke alam persahabatan atau perkenalan, teruskan sehingga ada sesuatu yang menghalang. Ingat, jangan sesekali berpatah balik hanya kerana ada perkara yang remeh.
Ini hanya membuang masa anda dan dirinya. Malah ia juga tidak baik kerana membabitkan soal hati. Apapun, cari masa yang paling sesuai untuk mengenali seseorang kerana bukan semua dapat menerima keadaan dengan sebegitu mudah.
Be First to Post Comment !
Post a Comment